Warga Sarawak terkandas di Nigeria selamat tiba di KLIA

Wan Junaidi bersama lapan orang rakyat Malaysia yang terkandas di Nigeria dan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KUCHING, Ogos 21: Lapan orang Malaysia yang telah terkandas di Nigeria sudah selamat tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, selepas lebih lima bulan mereka terkandas akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Nigeria telah termasuk penglibatan aktif di peringkat kepimpinan di antara Malaysia dan Nigeria yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Kooperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Kedutaan Malaysia di Nigeria.

Menurut Wan Junaidi, selama terkandas di sana, Kedutaan Malaysia sangat membantu dari segi tempat tinggal, makan minum dan juga proses pulang ke tanah air.

Kesemua lapan rakyat Malaysia yang terlibat berasal dari negeri Sarawak.

Salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas, Aloh Buyai berkata, perasaan gelisah bercampur baur dengan bimbang kerana terkandas di negara orang.

“Tambahan pula kami diberitahu bahawa lapangan terbang di Lagos, Nigeria hanya akan beroperasi pada bulan Oktober.

“Namun perasaan itu bertukar gembira apabila kami diberitahu boleh pulang lebih awal,” kata Aloh di dalam kenyataan media hari ini.

Beliau amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Wan Junaidi, pihak kedutaan Malaysia di Nigeria dan semua yang membantu mereka hingga selamat tiba ke tanah air.

Tambah Aloh, selepas insiden itu beliau tidak akan meninggalkan tanah air lagi selepas ini dan akan mencari kerja di Malaysia sahaja.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang terkandas, July Jantan turut mengucapkan syukur kerana akhirnya berjaya pulang ke tanah air.

“Sepanjang terkandas di Nigeria, saya sentiasa berdoa kami semua boleh kembali segera ke Malaysia. Perasaan gusar, risau dan tambahan pula kerisauan dengan timbulnya pelbagai penyakit di sana membuatkan saya makin tidak tentu arah. Ini merupakan pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan,” kata July.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang membantu terutamanya Wan Junaidi yang tidak berhenti membantu proses membawa pulang lapan orang rakyat Malaysia yang terkandas ini.

Sementara itu, Wan Junaidi juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Nigeria atas bantuan yang dihulurkan bagi memastikan misi ini berjaya dilaksanakan.

“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua penjawat awam yang telah bekerja keras membantu kepulangan rakyat Malaysia ini terutamanya mereka di Kedutaan Besar Malaysia di Nigeria dan juga Konsul Kehormat Malaysia di Nigeria,” kata beliau.

Wan Junaidi juga mengingatkan kepada semua yang pulang ke Malaysia ini supaya mengikuti arahan kerajaan untuk tempoh 14 hari kuarantin wajib setelah tiba di Sarawak.—DayakDaily