Warga Indonesia ditahan bersama syabu seberat 10.58kg, tangkapan terbesar sejak 2017

Dev (tengah) bersama pegawai polis yang lain menunjukan dadah syabu yang dirampas.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Oktober: Polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun bersama dadah syabu seberat 10.58 kilogram di Batu 3, Jalan Rock, di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata tangkapan pada jam 7.50 pagi, 10 Oktober lepas, merupakan rampasan syabu terbesar sejak 2017 dengan nilai RM529,000.

Advertisement

“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas saspek dan dadah tersebut ditemui dalam beg galas yang dibawa.

“Ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 10.58kg dengan anggaran nilai RM529,000, dan pil eramin 5 sebanyak 980 biji, anggaran nilai RM14,700, telah ditemui bersama saspek,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan Badarudin, hari ini.

Menurut Dev, kejayaan tersebut adalah hasil intipan yang dilakukan pasukan polis yang telah memilih masa yang sesuai untuk membuat tangkapan.

Beliau percaya dadah tersebut bukan untuk pasaran tempatan dan akan dibawa ke negara luar melalui Tebedu.

Saspek yang berasal dari Balai Kerangan, Kalimantan Barat, juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine melalui ujian saringan awal dadah semasa tangkapan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama, termasuk bagi mengenal pasti dari mana bekalan dadah itu diperoleh suspek dan rangkaian pengedarannya.

“Kita akan teruskan usaha menangkap jerung-jerung besar ini seperti komitmen saya sebelum ini,” tegas Dev. — DayakDaily

Advertisement