PRS Senadin sebulat suara tolak MPKK

Doris (duduk tiga kiri) bersama ahli-ahli majlis selesai mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan.

KUCHING, 15 Oktober: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Senadin sebulat suara menolak penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Pengerusi Bahagian Datuk Seri Doris Brodie berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan PRS Bahagian Senadin 2019 yang diadakan di Kelab Rekreasi Petroliam di Miri, semalam.

Doris, yang juga Ketua Wanita PRS, turut menyifatkan yang mesyuarat telah memperlihatkan satu semangat tinggi yang baru di kalangan ahli-ahli yang hadir.

“Semangat ini adalah satu petanda yang positif di dalam menghadapi suasana serta cabaran politik masa sekarang,” katanya.

Di mesyuarat tersebut, semua yang hadir juga menyatakan langkah menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan moto “Sarawak First”  adalah satu langkah yang baik dan bijak.

Semua ahli yakin yang GPS berkemampuan untuk menjaga kepentingan dan hak Sarawak tanpa bantuan kerajaan pusat, katanya.

Ini terbukti apabila mesyuarat juga turut menyaksikan penyerahan 60 borang permohonan ahli-ahli baru kepada ketua bahagian, ujar beliau.

Justeru, tambah Doris, PRS Bahagian Senadin akan meneruskan usaha untuk merekrut ahli-ahli baru selain berusaha menjelaskan kepada rakyat tentang perjuangan GPS.

Semasa mesyuarat tersebut, beberapa ranting baharu telah dikenalpasti akan ditubuhkan di dalam masa yang terdekat.

Ia adalah ranting Permyjaya dan Tudan memandangkan ramai ahli-ahli Bahagian Senadin adalah penduduk-penduduk di tempat tersebut. — DayakDaily