Warga Indonesia ajal dipanah petir

Rakan-rakan mangsa menunggu di luar Klinik Kesihatan Kabong.

KABONG, Okt 19: Malang menimpa seorang lelaki warga Indonesia apabila dia maut dipanah petir dalam satu kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Sumarno, berusia 36 tahun.

Menurut sumber, semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang bekerja di sebuah ladang sayur di sini. Bagaimanapun katanya, petir tiba-tiba menyambar mangsa sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.


“Rakan mangsa yang kebetulan berada di situ kemudian cuba membantu mangsa. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kabong sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, semasa kejadian, hujan lebat dan kilat serta petir sabung-menyabung.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — DayakDaily