Pusat panggilan judi dalam talian di Jalan Stapok Utama diserbu

Pasukan operasi menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

PADAWAN, 25 Sept: Sebuah apartment yang dipercayai disewa dan dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Jalan Stapok Utama, di sini diserbu semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan, tiga lelaki warga tempatan dipercayai pekerja di premis tersebut juga ditangkap dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 10.05 malam Khamis.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 24 tahun dan diberikan gaji RM1,500 sebulan.


Katanya, sindiket dipercayai telah menjalankan operasi tersebut lebih kurang tiga bulan.

Jelas beliau, sindiket tersebut beroperasi 24 jam setiap hari dengan keuntungan kasar mencecah sehingga RM1,500 sehari dan keuntungan sebulan sebanyak RM45,000.

Pasukan operasi turut merampas satu unit monitor, satu unit pemprosesan komputer, satu unit papan kekunci, satu unit tetikus, tiga unit telefon pintar dan satu unit perkakasan internet.

Mengulas lanjut, katanya, sindiket menjalankan aktiviti mencari pelanggan melalui telefon, dan juga melalui permainan judi dalam talian iaitu kiosk 918Kiss, Mega888, Pussy 888, XE 888, Newtown dan joker.

Katanya, telefon pintar yang dibekalkan adalah untuk operator membuat panggilan, pemasaran, menghantar sms, whatsapp kata laluan serta ID pengguna kepada pelanggan serta promosi perjudian.

Manakala wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank sindiket dan seterusnya slip bank akan di hantar melalui sms,whatsapp, telegram ke telefon operator.

Seterusnya operator akan memberi kata laluan dan ID pengguna kepada pelanggan untuk memulakan permainan judi atas talian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – DayakDaily.