This Content Is Only For Subscribers
MIRI, 25 Jun: Seorang wanita warga emas kerugian RM30,000 diperdayakan tiga bomoh wanita warganegara China yang menawarkan khidmat membuang nasib malang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa berusia 80 tahun telah didatangi tiga suspek di perhentian bas Jalan Raja, di sini.
Katanya, suspek terus mendekati mangsa dan memberitahu mangsa dan keluarganya akan ditimpa nasib malang.
“Suspek juga memberitahu ada berjumpa dengan mendiang suami mangsa dan menyuruhnya mencari mangsa untuk membuang nasib malang kerana kononnya anak lelaki mangsa akan meninggal dunia dalam masa terdekat.
“Suspek kemudian menawarkan mangsa untuk berubat dengan mereka bagi membuang nasib malang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Suspek kemudian meminta mangsa mengambil wang simpanannya berjumlah RM4,000 dan keluarkan wang dari akaun bank mangsa sebanyak RM26,000 dan menyerahkannya kepada mereka.
“Mangsa kemudian diarahkan masuk ke dalam sebuah kereta dan disuruh cuci tangan dan kaki menggunakan air botol yang kononnya telah dijampi untuk membuang nasib malang,” katanya.
Suspek kemudian menyerahkan semula barang-barang mangsa termasuk wang yang telah dibungkus dengan surat khabar dan hanya boleh dibuka selepas empat hari.
Kemudian mangsa diarahkan keluar dan beredar dari lokasi kejadian.
Pada 23 Jun, mangsa memanggil anak dan menantunya untuk bersama-sama membuka bungkusan tersebut.
Bagaimanapun, semasa dibuka bungkusan tersebut hanya mengandungi garam halus dan baharu dia sedar dirinya telah ditipu.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. — DayakDaily