MIRI, 13 Mac: Seorang warga emas melecur di lengan kiri selepas rumah yang didiami olehnya musnah dalam satu kebakaran di Kampung Ranchah-Rancah Bekenu, di sini lewat petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa, berusia 70-an, yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang kampung yang menyedari akan kejadian terbabit.
“Kita menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu sekitar jam 5.30 petang tadi dan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran tersebut memusnahkan sepenuhnya rumah jenis tidak kekal yang didiami oleh warga emas terbabit.
Kebakaran tersebut juga turut mengakibatkan struktur rumah bersebelahan terbakar sekitar lima peratus.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang terlibat masih lagi dalam siasatan, manakala warga emas terbabit telahpun dihantar ke Klinik Bekenu oleh orang kampung untuk rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily