Warga emas maut, rempuh belakang lori rosak di Miri

Pasukan operasi berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

MIRI, 12 Ogos: Seorang lelaki warga emas maut apabila van yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori di jalan berdekatan Depo Tahanan Imigresen Bekenu hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5.36 pagi dan mangsa dikatakan tersepit di tempat duduk pemandu van tersebut.

Jelasnya, anggota dari Balai Bomba Batu Niah terus bergerak ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Advertisement

“Setiba di lokasi kejadian, didapati pemandu van masih tersepit dan pasukan bomba terus membuat operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dubia selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Jong Sze Chan berusia 69 tahun dari Kampung Bekenu Asli.

Difahamkan mangsa semasa kejadian memandu van seorang diri menuju ke arah Miri dan telah melanggar lori tersebut yang dipakirkan di tepi jalan akibat rosak.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 6.50 pagi. — DayakDaily

Advertisement