Warga emas maut, gara-gara anjing

Keadaan motosikal mangsa.

KUCHING, 4 Mac: Seorang lelaki warga emas maut, selepas dikatakan tercampak dari atas motosikalnya gara-gara melanggar anjing di Batu 11 Jalan Serian-Kuching pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa Boon Nam Maew, 74 tahun dari Country View Estate, Batu 11 Jalan Kuching-Serian.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan bergerak dari arah Kuching menuju ke Serian sekitar jam 7 pagi.

“Semasa mangsa bergerak lurus di lorong kiri jalan di Batu 11, Jalan Kuching-Serian secara tiba-tiba seekor anjing yang datang dari bahu sebelah kiri jalan masuk ke laluan mangsa menyebabkan tidak sempat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan mangsa telah melanggar anjing tersebut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambahnya, akibat daripada kemalangan tersebut mangsa telah tercampak dan jatuh daripada motosikalnya.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pamaredik dari Hospital Sentosa.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Polis kini sedang mengesan saksi bebas yang dapat membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily