SRI AMAN, 9 Okt: Seorang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di simpang Nanga Klassen, Jalan Sri Aman-Betong hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.58 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kereta berdekatan simpang Nanga Klassen.
“Pihak Bomba bertindak mengeluarkan mangsa (pemandu) dari dalam kereta dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia berusia 71 tahun.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala dua lagi mangsa, termasuk pemandu sebuah lagi kereta dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan dilakukan pihak Bomba di lokasi kejadian sebelum berangkat balik ke balai. — DayakDaily