Dua maut dalam kemalangan di Tebedu

Kelihatan Isuzu D-Max milik pesara guru terbabit terbalik di tepi jalan.

SERIAN, 7 Jun: Dua lelaki warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 14 Jalan Serian-Tebedu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata seorang mangsa merupakan pesara guru berusia 63 tahun dan berasal dari Kampung Tebedu Mawang.

Katanya, mangsa terbabit semasa kejadian memandu sebuah Isuzu D-Max dari arah Serian menuju ke Tebedu pada jam 10.30 pagi.


Jelasnya, setiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lagi mangsa berusia 62 tahun berasal dari Kampung Pichin, Serian.

“Siasatan awal mendapati motosikal terbabit tiba-tiba keluar dari satu simpang menyebabkan dia dilanggar Isuzu D-Max tersebut yang bergerak lurus.

“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan motosikal diheret Isuzu D-Max tersebut dan telah bergesel dengan sebuah van lalu terbalik di tepi jalan.

“Pemandu Isuzu D-Max disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik dari Hospital Daerah Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Daerah Serian dan telah disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan.

Kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Serian.

Pemandu van dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily