LUNDU, 10 Nov: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometer 13 Jalan Lundu-Sematan hari ini.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata mangsa berusia 62 tahun semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Sematan menuju ke Kampung Serayan Hilir.
Katanya, mangsa dipercayai telah keluar dari P-Turn tanpa berhenti disimpang terlebih dahulu lalu dilanggar sebuah Toyota Unser yang bergerak lurus dari arah Lundu ke Sematan sekitar jam 10.55 pagi.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk bedah siasat.
Sementara pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily
Advertisement