MUKAH, Okt 22: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat melecur ketika cuba menyelamatkan diri selepas stor penyimpanan produk minyak serta silinder LPG terbakar petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata kejadian tersebut berlaku di Jalan Mukah-Selangau dan mangsa dikenali sebagai Sim Tan Bee berusia 61 tahun.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.16 petang.
“Mangsa cedera akibat melecur pada bahagian perut serta muka dan telah dihantar ke hospital oleh saudara mara sebelum dia disahkan meninggal dunia.
“Tindakan pihak bomba membuat pemadaman sisa bara api dan buat ‘cooling’ pada silinder LPG tersebut sehingga selesai.
“Didapati terdapat sebanyak 32 unit silinder LPG di dalam stor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya juga, punca kebakaran dipercayai terdapat aktiviti memindah minyak dari tong besar ke botol kecil dan tiba-tiba berlaku cetusan kebakaran terus menyambar tangan dan merebak ke tempat ruangan penyimpanan minyak diesel serta silinder LPG.
“Jarak dari rumah kediaman dan stor penyimpanan adalah 10 kaki,” katanya.
Bagaimanapun punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily