Seorang penunggang motosikal maut, seorang lagi parah dalam nahas

Mangsa yang disahkan meninggal dunia semasa dirawat di hospital.

MIRI, Okt 22: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi parah selepas berlanggar sesama sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lutong, di sini semalam.

Mangsa ialah Mohd Azwan Salim berusia 22 tahun dari Kampung Kuala dan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Miri.

Difahamkan, kemalangan berlaku sekitar jam 5 petang apabila mangsa dan seorang lagi lelaki dikatakan sedang menguji kelajuan motosikal masing-masing.


Bagaimanapun siasatan polis berhubung kejadian sedang dijalankan dan orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Buat masa ini, kita masih mencari saksi bebas dan kita juga telah menyita kesemua kenderaan yang terlibat untuk pemeriksaan pihak Puspakom.

“Selain itu, kita akan mengambil darah kedua-dua penunggang untuk ujian alkohol dan dadah,” katanya. — DayakDaily