MARUDI, 15 Nov: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Long Tap, Akah, Baram sejak 12 November lalu ditemui mati hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa,74 tahun, dijumpai oleh anggota Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sekitar jam 9.10 pagi tadi.
Katanya, mayat mangsa dijumpai di Sungai Abang iaitu kira-kira 4 kilometer dari lokasi kejadian.
“Pasukan SAR mengambil mangsa dan menyerahkan kepada keluarganya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi SAR mangsa ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari.
Difahamkan pasukan Bomba Marudi mengambil masa kira-kira 7 jam menggunakan jalan balak dengan menaiki kenderaan jenis pacuan empat roda.
Setiba di Long San, pasukan penyelamat menggunakan bot ke Long Tap dan mengambil mangsa kira-kira 50 minit.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan Ketua Kampung Long Tap dan merupakan peserta Summer Camp pada tahun 2018 yang dianjurkan oleh Bomba Miri. — DayakDaily