Lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Matang

Keadaan motosikal mangsa di lokasi kemalangan.

KUCHING, 15 Nov: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Batu 9, Jalan Matang di sini semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.18 petang.

Katanya, mangsa, 21 tahun ketika itu dikatakan dalam perjalanan dari Jalan Matang Jaya menuju ke Matang.


Beliau memberitahu, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas lalu melanggar penghadang besi jalan serta tercampak terkena papan tanda serta tiang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily