Oleh Brad Rantayy
MIRI, 4 April: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas sesat di dalam hutan hampir 16 jam berdekatan Kampung Jengalas Bekenu ditemukan selamat pada pagi Isnin (4 April).
Mangsa dikenali sebagai Addul Rani Lakim, 72, dari Kampung Jengalas Baru, itu ditemukan oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 10.20 pagi tadi.
Menurut ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Rary Binjie, mangsa ditemukan pada jarak 200 meter dari kawasan perumahan di lokasi mangsa mula dilihat memasuki kawasan hutan tersebut pada petang Ahad oleh seorang saksi.
Laporan kehilangan mangsa dibuat selepas beliau gagal balik ke rumah pada hari tersebut.
Menurut saksi, lelaki warga emas itu dilihat masuk ke dalam kawasan hutan tersebut seorang diri dalam keadaan tidak berpakaian pada petang Ahad.
Operasi yang turut disertai penduduk kampung dan anggota RELA itu bermula sekitar jam 8.10 pagi Isnin.
Namun, dua jam selepas iperasi bermula, mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Mangsa kemudian diperiksa pegawai kesihatan yang turut berada di lokasi sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya. ― DayakDaily