PKR Sarawak terbuka kepada idea kerjasama parti pembangkang

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 4 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak terbuka kepada idea kerjasama di antara parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Penerangnya Abun Sui Anyit berkata, kerjasama itu perlulah melibatkan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan (PH) seperti Amanah dan PKR.

“Sama ada PKR Sarawak setuju atau tidak, terlalu awal untuk menerima atau menolak persoalan bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Abun, secara prinsipnya PKR melihat perkembangan tersebut dengan kepercayaan bahawa DAP hanya berunding dengan parti politik pembangkang lain berkaitan kerusi-kerusi dalam senarai DAP Sarawak.

Tegas beliau, ia bukannya melibatkan 19 kerusi Parlimen yang dalam senarai PKR Sarawak.

“Setakat ini, PH Sarawak belum lagi dipanggil bermesyuarat. Justeru apa–apa keputusan yang dibuat oleh DAP dengan pembangkang lain yang memberi kesan negatif kepada rakan dalam PH perlulah dielak,” ujar beliau.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen pada semalam memaklumkan partinya akan mengadakan pertemuan di Sibu pada esok.

Menurut Chong, ia bagi membincangkan kemungkinan dan cara bekerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

DAP Sarawak mempunyai autonomi penuh untuk menentukan parti politik mana di Sarawak untuk bekerjasama dengan pihaknya pada PRU nanti. — DayakDaily