Warga emas di Padawan rugi RM100,000 ditipu ‘Macau Scam’

Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad

KUCHING, 16 Dis: Seorang lelaki warga emas di Padawan mengalami kerugian sekitar RM100,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘Macau Scam’.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa berusia lewat 60an itu mendakwa dia dihubungi oleh sindiket penipuan terbabit pada 15 Dis.

Katanya, mangsa telah diberitahu bahawa ada pihak membuka syarikat di Pulau Pinang atas namanya dan memiliki hutang tertunggak sebanyak RM36,800.


“Selepas mendapat mendapatkan maklumat peribadi mangsa, sindiket terbabit kemudian mengarahkan mangsa berhubung dengan seorang pegawai kanan polis untuk diambil keterangan.

“Pegawai polis tersebut kemudian mengatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kes pengedaran dadah.

“Untuk menyelesaikan kes tersebut, mangsa perlu menyerahkan maklumat perbankan yang didaftarkan atas namanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa bagaimanapun menyedari perkara tidak betul dan terus membuat laporan polis.

Difahamkan sindiket tersebut sempat membuat transaksi mengeluarkan atau memindahkan wang dari akaun mangsa kira-kira sebanyak RM100,000 keseluruhan.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

“Orang ramai boleh terlebih dahulu membuat pemeriksaan dengan menghubungi National Scan Response Cebtre di talian 997 atau 0326101559/0326101599.

“Orang ramai juga boleh hubungi infoline JSJK (013-2111222) atau boleh membuat semakan nombor akaun bank suspek di portal semak mule PDRM atau web https://semakmule.rmp.gov.my/,” katanya. ā€” DayakDaily