This Content Is Only For Subscribers
KOTA SAMARAHAN, 22 Jun: Seorang lelaki warganegara China ditangkap selepas didakwa menipu membaiki emas milik seorang wanita warga emas di Kampung Asajaya Laut pada 18 Jun lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa, 77, didatangi suspek yang kemudian memberitahu boleh membaiki emas.
Katanya, mangsa kemudian menyerahkan seutas rantai tangan emas untuk dibaiki dan suspek memberitahu rantai tersebut perlu dicuci sebelum dibaiki.
“Setelah selesai kerjanya dengan upah RM2, suspek menyerahkan semula rantai tersebut kepada mangsa, tetapi rantai tersebut diterima dalam keadaan rosak dan tidak nampak seperti asalnya.
“Mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 19 Jun, suspek berjaya dikesan di Kampung Rebak Asajaya dan anak mangsa terus menahan dan membawanya ke Balai Polis Asajaya.
“Suspek kemudian ditangkap dan ditahan dalam lokap polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily