Wanita yang dipercayai mengalami gangguan mental ditemui selamat di pondok padi

Anggota bomba dari BBP Serian Fabian Andy Jesi sedang memujuk wanita itu supaya turun dari pondok padi.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Mac 7: Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bugu Mawang di sini sejak semalam ditemui selamat hari ini.

Mangsa, 44, dijumpai oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 4.05 petang.

Pegawai Operasi Bomba Zon 2, Muhd Syamil Mustafa Kamal berkata, mangsa yang dipercayai mengalami masalah gangguan mental itu ditemui di pondok tempat menyimpan padi iaitu kira-kira 1 kilometer dari rumahnya.

Katanya, pasukan bomba terpaksa memujuk mangsa sebelum dia dibawa keluar dari pondok berkenaan.

Anggota bomba sedang membawa mangsa balik ke rumahnya.

“Semasa dijumpai, mangsa dalam keadaan sihat, namun kelihatan keletihan disebabkan tidak makan dan minum.

“Wanita berkenaan kemudian dibawa keluar sebelum diberi rawatan awal dan makanan dan minuman,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhd Syamil menambah, operasi mencari dan menyelamat itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.30 petang selepas mangsa dibawa pulang ke kediamannya. — DayakDaily