BINTULU, 10 Sept: Seorang wanita warganegara Indonesia ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Kemena, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima laporan kes kebakaran tersebut pada jam 2.59 pagi.
Katanya, anggotanya kemudian terus dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Balai Bomba.
“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan satu satu blok yang mempunyau tujuh pintu dan kebakaran hanya melibatkan pintu ke-5 yang telah terbakar 100 peratus.
“Setelah membuat size up berpandukan RECEO dan didapati ada melibatkan seorang mangsa wanita (rentung),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, pasukan Bomba kemudian terus memadam kebakaran menggunakan satu aliran 100 kaki, satu nozel.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.20 pagi,” katanya.
Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Dilla dan berusia 24 tahun kemudian diserahkan kepada polis.
“Dua lagi rakan serumah mangsa tiada di rumah semasa kejadian kerana bekerja shift malam,” katanya.
Setelah mendapati keadaan selamat sepenuhny, anggota Bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily