Wanita warga emas rugi RM900,000, jadi mangsa ‘phone scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

MIRI, 23 Feb: Seorang wanita warga emas berusia 70an mengalami kerugian mencecah RM900,000 selepas menjadi mangsa kes ‘phone scam’, di sini baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian pada semalam, selepas mangsa mula sedar dirinya ditipu.

Katanya, mangsa pada bulan Januari telah menerima satu panggilan telefon dari seseorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada IPK Pulau Pinang.


“Mangsa dimaklumkan oleh individu terbabit bahawa dia telah menyertai satu kumpulan pengubahan wang haram dan bagi mengelak ditangkap serta membersihkan namanya, dia perlu membuat pembayaran untuk siasatan.

“Suspek memberitahu wang tersebut akan dikembalikan semula selepas siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang percaya dengan suspek kemudian telah melakukan 117 transaksi pemindahan wang ke 21 akaun bang yang berbeza.

“Setelah mangsa membuat kesemua bayaran tersebut baharu dia menyedari dirinya ditipu dan turut membuat semakan selanjutnya di balai polis berhampiran.

“Dia telah dimaklumkan bahawa panggilan tersebut bukannya daripada pihak polis,” katanya.

Jumlah keseluruhan wang telah dibayar kepada suspek adalah lebih kurang RM900,000.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan. — DayakDaily