Wanita warga emas maut dalam kemalangan di Simunjan

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SIMUNJAN, 7 Ogos: Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di jalan Kampung Sungai Ladong, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita.

Katanya, kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 5.30 petang dan beberapa anggota dari Balai Bomba Simunjan dikerahkan ke lokasi apabila dimaklumkan terdapat dua mangsa tersepit.


“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah Proton Waja yang dipercayai hilang kawalan dan melanggar pokok.

“Dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang hadapan masih tersepit dan dalam keadaan cedera dan masih sedar.

“Terdapat juga seorang wanita (mangsa) didapati tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang dan telah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba kemudian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan telah diserahkan kepada pihak ambulans.

“Selepas diberikan rawatan kecemasan, mereka kemudian segera dikejarkan ke Hospital Simunjan,” katanya.

Manakala wanita warga emas, 72 tahun, yang dikeluarkan dari tempat duduk belakang kereta tersebut telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily