Wanita warga emas ditemui selamat selepas 3 hari hilang

Pasukan SAR memberi rawatan awal kepada mangsa.

Oleh Dean Adam

BETONG, Mac 23: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 20 Mac lepas ditemui selamat di kawasan Sedarat Panjai dekat sini hari ini.

Mangsa, Shamsiah Nor, 55, ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 1.23 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata ketika ditemui mangsa dikatakan sedang berehat di sebuah pondok di tepi jalan berkenaan.

Katanya, orang awam tersebut kemudian menghubungi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk tindakan lanjut.

“Jarak mangsa ditemui adalah kira-kira 1.5 kilometer dari pusat kawalan bomba. Apabila tiba, pasukan SAR mendapati mangsa dalam keadaan selamat sebelum diberikan rawatan awal,” katanya di sini hari ini.

Pasukan SAR mengusung mangsa untuk dibawa ke klinik.

Jurucakap sama menambah, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Engkilili menggunakan van bomba bersama ahli keluarga mangsa untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi SAR tamat sepenuhnya pada pukul 2.15 petang,” katanya. — DayakDaily