KOTA SAMARAHAN, 28 Feb: Seorang wanita trauma selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terbalik di bahu jalan dalam kejadian kemalangan kendiri di Jalan Klinker Batu 15 di sini.
Bagaimanapun, wanita terbabit dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian paha kanannya.
Jurucakap, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 7.37 pagi tadi sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan untuk ke lokasi kejadian.
“Pihak Bomba tiada menjalankan operasi penyelamatan kerana mangsa telah di keluarkan oleh orang awam daripada kenderaannya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan awal oleh anggota EMRS Bomba terhadap mangsa mendapati dia mengalami kecederaan ringan di bahagian paha kanan selain masih trauma dengan kejadian terbabit.
Ujarnya, pihak ambulans dan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dihubungi bagi membawa mangsa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. — DayakDaily