Cari kaedah baharu benar gelembung pergerakkan bantu industri perlancongan

Dato Sri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Satu pendekatan atau kaedah pemikiran baharu perlu dirintis dalam mencari cara untuk membenarkan semula gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri.

Ia antara lain bagi membantu kelangsungan industri perlancongan domestik negara yang banyak bergantung kepada mobiliti dan pergerakkan manusia dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Menteri Perlancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri berkata sekiranya tiada pergerakkan, ia memberi makna tiada aktiviti pelancongan dan begitu juga aktiviti ekonomi yang berkait rapat dengan industri terbabit.


Pada masa sama, situasi terbabit turut berupaya mendedahkan mereka yang terlibat dalam sektor tersebut kehilangan punca pendapatan atau perkerjaan mereka.

“Saya menghormati kepakaran dan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Saya mengambil maklum kenyataan beliau berhubung kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri yang hanya akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.

“Namun pada masa yang sama, saya khuatir kenyataan tersebut boleh memberi impak lebih buruk kepada industri pelancongan tempatan yang sudah setahun terkesan dan terjejas teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy berkata, perkara yang di utarakannya itu bukan sahaja tentang impak kepada ekonomi negara, sebaliknya turut mempertimbangkan  punca pendapatan dan kelangsungan hidup penggiat industri perlancongan tempatan.

Justeru beliau berharap agar ada pemikiran baharu dalam cara untuk membenarkan semula gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri.

Katanya, satu titik pertemuan yang boleh menyeimbangkan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat perlu dicari agar semua pihak dapat memperoleh manfaatnya terutumanya dengan keadaan situasi semasa kini.

“Pendekatan baharu adalah perlu. Justeru, saya menaruh harapan dan yakin bahawa pasti ada pendekatan baharu untuk mengawal penyebaran Covid-19 selain daripada meneruskan halangan rentas negeri.

“Biar kita menang dalam menangani pandemik ini dan kita juga menang dalam memulihkan ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan,” katanya. — DayakDaily