KOTA SAMARAHAN, Mei 28: Seorang wanita cemas apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Taman Meranti di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Gilbert Najem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.21 petang.
Katanya, lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati seorang wanita tersepit dalam kereta Perodua Viva, namun masih dalam keadaan sedar.
“Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Gilbert memberitahu, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu lori tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 5.48 petang,” katanya. — DayakDaily