Wanita tersepit, lori dinaiki langgar lori lain

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SIBURAN, April 3: Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila dia tersepit selepas lori yang dinaikinya melanggar sebuah lagi lori di Batu 12, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, mangsa yang berusia 54 tahun tersepit dan mengalami kecederaan pada kakinya.

Komander Operasi, PBK II Albanus Linyan berkata, mangsa dikenali sebagai Nilaw Masar, 54, dan berasal dari Kampung Ensebang Kuari Serian.


Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 10.11 pagi.

“Sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sejurus sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati mangsa masih dalam keadaan tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Albanus memberitahu, pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.40 pagi,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily