Wanita tersepit, kereta terbabas dan terbalik di Sempadi

Keadaan kereta mangsa di lokasi kemalangan.

LUNDU, 6 Dis: Seorang wanita tersepit di dalam keretanya selepas terlibat kemalangan kendiri di Jalan Sempadi, di sini malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.35 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi kejadian selepas laporan diterima.

“Setiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah Proton Saga dan terdapat seorang mangsa kanak-kanak telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Terdapat seorang lagi mangsa wanita tersepit di bahagian kaki dan mengalami kecederaan pada bahu kanan.

“Pihak Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada kakitangan perubatan hospital yang turut sama hadir di lokasi kejadian,” katanga dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Manakala pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas memastikan keadaan benar-benar selamat dan terkawal.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.40 malam. — DayakDaily