Lelaki dan bapa mertua maut dalam kemalangan di Lundu

Keadaan di lokasi kejadian.

LUNDU, 6 Dis: Dua lelaki warga emas terkorban dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lundu-Bau hari ini.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata mangsa dikenali sebagai Lim berusia 63 tahun dan bapa mertuanya dikenali sebagai Then berusia 83 tahun.

Katanya, mereka semasa kejadian menaiki sebuah kereta dari arah Lundu dan telah melanggar belakang sebuah lori dari arah bertentangan semasa tiba di satu lencongan jalan.

“Pada masa sama, sebuah lagi kereta yang mengekori belakang kereta mangsa telah melanggar belakang kereta mangsa.

“Perlanggaran tersebut menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan (mangsa dan bapa mertuanya) maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, terdapat seorang lagi mangsa iaitu isteri kepada Lim turut mengalami kecederaan manakala pemandu lori dan penumpang sebuah lagi kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Sebigo, di sini kemudian dihantar ke Hospital Lundu dan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Hadir sama beroperasi di lokasi kejadian ialah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu.

Kes ini disiasat dk bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily