Wanita temui ajal, motosikal dinaiki dirempuh Naza Ria

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Naza Ria.
Advertisement

Oleh Dean Adam

LUNDU, Jun 16: Seorang wanita menemui ajal selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Lundu-Sematan, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Rosita, 40-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 10.05 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dan kenderaan jenis Naza Ria.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa dalam keadaan tercampak di atas jalan raya dan sudah tidak bernyawa lagi.

“Pemandu kenderaan tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Naza Ria.

Jurucakap sama menambah, petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.52 malam selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya. — DayakDaily

Advertisement