Wanita temui ajal akibat diserang buaya

Kelihatan beberapa kesan gigitan buaya pada kaki mangsa.

Oleh Dean Adam

DARO, Okt 17: Seorang wanita ditemui mati dipercayai akibat diserang oleh seekor buaya di Sungai Kampung Sawai di sini hari ini.

Mangsa, Maznah Moh, 39, dikatakan sedang menjala ikan di sungai tersebut sebelum dipercayai diserang reptilia ganas tersebut.


Menurut sumber, sebelum kejadian seorang saksi iaitu penduduk kampung memaklumkan ada ternampak mangsa sedang melakukan aktiviti menjala di sungai itu kira-kira pukul 9 pagi.

Bagaimanapun katanya, beberapa jam kemudian, penduduk kampung telah menemui sebuah perahu yang digunakan mangsa ketika menjala ikan dalam keadaan dihanyutkan oleh arus sungai.

“Bimbang akan keselamatan mangsa, penduduk kampung kemudian melancarkan gerakan mencari dan menyelamat wanita berkenaan.

“Tidak lama kemudian, penduduk kampung berjaya menemui mangsa pada pukul 12 tengah hari dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, pemeriksaan lanjut menemui beberapa kesan gigitan buaya pada kaki serta anggota badan mangsa.

“Mayat mangsa telah dibawa ke rumahnya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily