Dua pekerja syarikat pemberi pinjaman didakwa di Mahkamah Majistret Bintulu

Kelihatan dua tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Okt 17: Dua pekerja syarikat pemberi pinjaman wang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bintulu di sini hari ini atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas seorang peminjam wang pada Oktober 12 lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 24 dan 25 tahun selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Majistret Mahkamah Bintulu, Salina Sahrom.


Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berumur 28 tahun dengan menampar dan menumbuk muka mangsa di dalam premis syarikat peminjam wang tersebut pada Oktober 12 kira-kira pukul 9.20 pagi.

Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Inspektor Siti Mariyah Dahari, manakala kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Eric Lau.

Kedua-dua tertuduh kemudian dibebaskan dengan jaminan wang tunai sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin tempatan.

Mahkamah sama juga telah menetapkan keputusan kes akan dibuat pada Oktober 24 ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan tindakan ganas dua pekerja syarikat pemberi pinjaman wang memukul seorang lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Siastan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, dua suspek terbabit telah ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.

Jelas beliau, tangkapan itu dijalankan ekoran laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada Oktober 12 lepas.

“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah ditumbuk oleh kedua-dua suspek sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala bengkak dahi kanan, bawah mata kanan, bahagian mulut dan bahagian muka.

“Mangsa dicederakan oleh kedua-dua suspek dipercayai akibat salah faham berhubung tuntutan hutang mangsa daripada syarikat pemberi pinjaman wang tersebut,” katanya. — DayakDaily