Wanita Selangau mangsa terbaharu rabies di Sarawak

Poster Cegah Rabies (gambar fail)

KUCHING, 25 Mei: Sarawak mencatatkan satu lagi kes kematian akibat rabies pada 6 Mei lepas yang membabitkan seorang wanita berumur 45 tahun yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus di Selangau.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 32 sejak wabak itu diisytiharkan di negeri ini pada 1 Julai 2017.

Katanya, kes kematian terbaharu itu disahkan positif pada 5 Mei 2021 setelah mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan anjing tersebut yang sedan bergaduh dengan anjing lain pada 9 Mac 2021.

“Kes telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama. Rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan temu janji susulan telah diberikan.

“Malangnya kes telah tercicir daripada rawatan susulan. Setelah berjaya dikesan, kes telah diberi suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April 2021.


“Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei 2021 lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah Dr Noor Hisham, sampel klinik Al untuk ujian pengesanan virus rabies diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak Dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021.

Jelas beliau, keadaan pesakit semakin merosot dan kes meninggal dunia pada 6 Mei 2021 jam 7.13 pagi dengan diagnose rabies encephalitis. — DayakDaily