Wanita nyaris maut, kereta dipandunya terbalik

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 22: Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang kerja nyaris maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik di KM2 Jalan Miri- Bintulu di sini awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Abg Muhammad Fhazil Abg Abdul Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 1.38 pagi.

Advertisement

Jelasnya, seramai tujuh anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) atau Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi.

Petugas perubatan dan pasukan bomba membantu mangsa.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kereta yang dipandu wanita berusia 22 tahun dalam keadaan terbalik selepas hilang kawalan ke laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kepala,” katanya di sini hari ini.

Abg Muhammad menambah, mangsa kemudian diberi rawatan awal dan seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan bomba seterusnya membuat kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan serpihan kaca di tempat kejadian.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.08 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement