Empat lelaki dicekup disyaki terlibat dalam jenayah dadah

Dadah yang dirampas polis daripada empat suspek.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Ogos 22: Polis menahan empat lelaki selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi dua serbuan berasingan di sini pada Selasa.

Dalam satu kenyataan media malam tadi, Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 10.30 pagi, polis telah menahan dua lelaki di tepi Jalan, Batu 51, Jalan Serian/Sri Aman.


Manakala katanya, dua lagi lelaki diberkas di tempat letak kenderaan Hospital Serian pada pukul 4.40 petang, hari yang sama.

“Pemeriksaan yang dilakukan dalam serbuan pertama menjumpai satu keratan tiub lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 0.13gram di dalam poket baju yang pakai oleh salah seorang daripada suspek.

“Dalam serbuan kedua, polis juga menemui satu paket lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 1.55gram di dalam poket seluar yang dipakai oleh salah seorang suspek,” katanya.

Aswandy menambah, kesemua suspek telah dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati dadah yang dirampas tersebut adalah untuk diedarkan kepada penagih-penagih di sekitar Serian.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM200 di pasaran tempatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama 4 hari untuk melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a)ADB 1952 kerana memasukkan dadah di dalam badan,” tegasnya.— DayakDaily