SARIKEI, April 2: Malang menimpa seorang wanita warga emas apabila dia menemui ajal selepas dilanggar oleh sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Tulai di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu menyebabkan mangsa, Ting Chiew Lang, 77, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bintangor.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, ketika insiden, wanita malang itu dikatakan tiba-tiba berlari melintas jalan raya sebelum dilanggar kereta.
Katanya, pemandu Toyota Vios dikatakan gagal memberhentikan kenderaannya kerana jarak dari mangsa terlalu dekat.
“Kesan perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa kemudian dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu Toyota Vios untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. ā DayakDaily