LHDN lancar ‘jingle’ promosi kesedaran cukai

Sabin berucap pada majlis mesra LHDN bersama media Sarawak.

KUCHING, April 2: Pendekatan yang lebih mesra kepada pembayar cukai yang mengandungi perkhidmatan mesej cukai elektronik telah dilancar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini.

Pendekatan mesra pengguna yang dilancarkan itu dikenali sebagai ‘jingle’ atau lagu pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pelancaran ‘jingle’ itu secara langsung akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tentang tanggungjawab percukaian terhadap negara.


Jelas beliau, lagu pendek tersebut dihasilkan dalam dua versi itu iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Lagu berdurasi 30 saat dan 60 saat tersebut akan disiarkan di stesen radio tempatan bagi meningkatkan keberkesanan dalam aktiviti promosi kesedaran cukai,” katanya dalam majlis mesra LHDN bersama media Sarawak di sini hari ini.

Sabin menambah, ‘jingle’ itu juga akan digunakan sebagai deringan ‘on hold’ atau panggilan masuk di semua pejabat LHDN di seluruh negara ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, media massa penting bagi menyebarluas mesej tentang kepentingan membayar cukai pendapatan kepada kerajaan. — DayakDaily