Wanita maut, suami cedera parah dalam kemalangan babitkan dua kereta

Kelihatan kemalangan di Jalan Kampung Sungai Pinang, Bau.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 24: Seorang wanita maut, manakala suaminya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kampung Sungai Pinang, Bau, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, Muring Tambat, 47, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tiwi Nios, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 8.23 pagi.

Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Petugas perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan itu melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Kelisa dan Honda Civic.

“Pemeriksaan mendapati, pemandu Perodua Kelisa yang juga merupakan suami mangsa dalam keadaan tersepit dan cedera parah, manakala mangsa pula dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya di sini hari ini.

Tiwi menambah, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit kemudian dilakukan sebelum menyerahkan mangsa kepada petugas perubatan.

Katanya, pemandu serta penumpang Honda Civic hanya mengalami kecederaan ringan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.20 pagi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily