KUCHING, 24 Jan: Seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan selepas dipukul suaminya di rumah mereka di Batu Gong, Siburan.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa,43 tahun dipercayai dipukul suaminya yang berang selepas dia dihalau pada 8 Januari lepas kerana enggan berkerja dan sering meminta wang dari mangsa yang hanya berjual kuih muih.
Katanya, mangsa juga ada menuntut cerai daripada suspek.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipukul suspek pada 22 Januari ketika mangsa balik dari bermalam di rumah jirannya memandangkan dia takut tidur seorang diri dan khuatir suspek akan balik ke rumah.
“Semasa dalam perjalanan balik, mangsa didatangi suspek dan memberitahu dia mahu mengambil pakaiannya di rumah dan menyatakan ingin berbincang dengan mangsa.
“Semasa di rumah, suspek dikatakan bertindak menolak mangsa di kerusi ruang tamu lalu menampar kedua-dua pipinya dan mangsa turut dicekik ketika dia cuba melawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suspek kemudian melarikan diri selepas menyedari mangsa telah menghubungi jiran mereka.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami lebam di kedua-dua pipi, sakit di telinga kiri dan lebam pada leher.
“Pada 23 Januari sekitar jam 8 malam, mangsa mengadu sakit di telinga dan memanggil kakaknya di sebelah sebelum tiba-tiba tanganya mengejang dan kemudian lemah lalu terbaring di pelukan kakaknya,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa Pembantu Perubatan yang hadir di lokasi kejadian selepas menerima laporan pada jam 9.48 malam.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
“Manakala suspek telah berjaya ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawa Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — DayakDaily