Wanita Keadilan Sarawak gesa menteri fokus selesaikan masalah akses Internet

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 9 Sept: Wanita Keadilan Sarawak menggesa kerajaan untuk menangani masalah ketiadaan akses Internet di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan segera.

Menurut Sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan juga Timbalan Menteri Kewangan harus menawarkan jalan penyelesaian yang komprehensif dan bersifat kekal.

“Oleh itu, para pelajar mahupun penduduk di kawasan luar bandar ataupun di pedalaman juga berhak menikmati akses Internet yang berkualiti tinggi seperti yang disediakan di kawasan bandar,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, Wanita Keadilan amat kesal di atas pelbagai kenyataan dan dakwaan bersifat kurang profesional.

Katanya, kedua-dua timbalan menteri iaitu MP Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin dan MP Kudat Abdul Rahim Bakri seakan tidak prihatin terhadap nasib pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin.

Wanita Keadilan mendesak Menteri Wanita dan Timbalannya untuk membuat kenyataan berhubung dengan isu pembulian siber ini demi memelihara dan memperjuangkan hak dan nasib wanita termasuklah golongan remaja.

“Kami ingin menyarankan agar kedua-dua timbalan menteri ini meletak jawatan sekiranya mereka tidak berjaya menyelesaikan masalah akses Internet di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Wanita Keadilan yakin video viral Veveonah mencerminkan kreativiti dan kepintarannya, sekaligus mendedahkan kekurangan di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah.

Begitu juga kes di Sarawak di mana seorang pelajar universiti di Pakan, Sarawak terpaksa meredah hutan untuk mencari capaian Internet, ujar Wanita Keadilan. — DayakDaily