Setelah Veveonah, pelajar Pakan berkelambu di kebun getah demi capaian internet

Rose berkelambu di kawasan kebun getah demi capaian internet yang lebih bagus.

KUCHING, 8 SEPTEMBER: Setelah video viral Veveonah Mosibin, seorang pelajar universiti di Pakan, Rose ED turut berkelambu di hutan demi capaian internet yang bagus untuk pembentangan tugasan akhir tahun.

Menerusi catatan di Facebook beliau bertarikh 24 Jun, Rose menyelesaikan pembentangan tugasan secara atas talian menerusi sistem MyGuru di kawasan kebun getah dimana capaian internet adalah lebih baik berbanding di rumah panjang.

“Hari ini saya terpaksa bersedia awal sebelum pembentangan bermula. Seperti yang saudara saudari lihat di dalam gambar, lokasi ini adalah di kawasan hutan tempat kami menoreh getah.

“Capaian internet di sini lebih bagus berbanding di kawasan rumah panjang.

“Kampung kami tidalah jauh dari Pekan Pakan. Namun, untuk ke pekan memerlukan kos dan kenderaan untuk ulang alik setiap hari,”katanya yang merupakan seorang pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris(UPSI).

Rose berkelambu di kawasan kebun getah demi capaian internet yang lebih bagus.

Pada catatan itu juga, Rose berkata sebagai pelajar tahun akhir, beliau amat memerlukan capaian internet yang bagus untuk mengakses maklumat projek akhir tahun.

Dalam pada itu, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat(PKR) Batang Sadong Piee Ling menggesa Kerajaan untuk lebih proaktif menyediakan kemudahan prasarana ini.

Katanya, pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dan teknologi digital dalam bidang pendidikan perlu diperkemaskan, terutama dari segi capaian internet.

“Capaian Internet yang kurang memuaskan salah satu cabaran dan kekurangan yang dihadapi anak-anak di luar bandar, selain berdepan sekolah daif dan kekurangan prasana pendidikan lain.

“Penerimaan capaian internet yang lemah menjejaskan urusan harian penduduk. Apatah lagi pada era pembelajaran atas talian yang rancak diperkatakan oleh Kementerian Pendidikan dewasa ini,”ujar Piee menerusi satu kenyataan hari ini

Jelas beliau lagi, musim Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) membuktikan urusan perniagaan atas talian mendapat sambutan yang memberangsangkan.—DayakDaily