Wanita Keadilan cadang PRN12 pada Ogos 2021

Parti Keadilan Rakyat logo.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Nov: Wanita Keadilan Sarawak menyeru agar Pilihan Raya Negeri Ke-12(PRN12) diadakan pada bulan Ogos 2021.

Timbalan Ketua Wanita Keadilan Sarawak Zulhaidah Suboh berkata, ia adalah tempoh maksimum yang dapat dilanjutkan mengikut Perlembagaan Negeri.


“Penggal DUN Sarawak hanya akan berakhir pada bulan Jun tahun depan dan oleh itu pilihan raya boleh ditangguhkan hingga Ogos 2021,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dengan keadaan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat tambah Zulhaidah, ia sememangnya merunsingkan.

Justeru katanya, ini telah menambah keperluan bagi semua pihak untuk membuat persiapan awal bagi mengelakkan keadaan penularan wabak menjadi semakin teruk.

“Di negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi yang matang, tarikh untuk pilihan raya yang bakal diadakan telahpun ditentukan sama ada secara tetap atau setelah satu pilihan raya tamat.

“Sesungguhnya, menentukan tarikh pilihan raya yang bakal diadakan adalah amat penting untuk persediaan awal semua pihak,” kata Zulhaidah.

Kebelakangan ini ujar beliau lagi, ramai pimpinan dalam Kerajaan Negeri Sarawak mewar-warkan perancangan untuk mengadakan PRN Sarawak dalam masa terdekat.

Beliau juga merujuk kepada kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada semalam yang mencadangkan Januari atau Mac sebagai waktu terbaik untuk PRN12. – DayakDaily