Ali mahu Balai Bomba di Kabong

Ali Biju (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Nov: Ahli Parlimen(MP) Saratok Ali Biju mahukan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat diwujudkan di daerah Kabong di Saratok.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, ia adalah keperluan yang amat mendesak khusus bagi menangani semua jenis bencana yang berlaku.


“Justeru, saya akan memberi perhatian serius dalam menerajui pembinaan sebuah Balai Bomba di daerah Kabong.

“Saya akan berhubung dengan Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai permohonan ini dalam tempoh yang terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Ali, beliau akan memajukan cadangan supaya perancangan bagi pembinaan Balai Bomba Kabong disyorkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tempoh 2021-2026.

Ali mahukan ia segera dilaksanakan berikutan kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi semalam di Kampung Hilir Sungai Pala.

Kebakaran telah memusnahkan tiga buah rumah dan 17 orang penduduk terlibat hilang tempat berteduh.-DayakDaily