Wanita ingkar SOP, enggan memakai pelitup muka ditangkap

File photo depicting an assortment of face masks.
Advertisement

KUCHING, 25 Mei: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung seorang wanita dalam satu video tular di media sosial sejak Isnin (24 Mei) lalu kerana didakwa enggan memakai pelitup muka di sebuah pasar raya, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek yang berusia 43 tahun dan merupakan seorang suri rumah berjaya ditangkap di sebuah rumah di kawasan Kuching sekitar jam 2.40 petang tadi.

Susulan itu, dengan tertangkapnya suspek, Merbin percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan.

Advertisement

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk beliau memutuskan tindakan yang akan dikenakan kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Dedah Merbin, suspek semasa disoal siasat memberitahu dia enggan memakai pelitup muka disebabkan mengalami sesak nafas.

“Sungguhpun begitu, ia adalah menyalahi undang-undang, tambahan laporan polis terhadapnya juga telah dibuat dan kita perlu mengambil tindakan,” katanya lagi.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit 2021 yang membawa hukuman penjara serta denda tidak lebih RM50,000. — DayakDaily

Advertisement