Pengukuran Tanah NCR dibawah Seksyen 6 dan 18 bermula di Kg Skio

Kelihatan Miro (kiri) semasa satu sesi dialog di sebuah kampung di Serembu baru-baru ini.

KUCHING, 25 Mei: Kerajaan Sarawak di bawah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah memulakan pengukuran tanah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 di Kampung Skio dan juga termasuk pengukuran kampung tradisi.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Adun Serembu Miro Simuh berkata, ia merupakan satu berita gembira untuk penduduk di Kampung Skio dan juga kawasan DUN Serembu kerana pengukuran tanah kali ini merupakan inisiatif yang julung kali diadakan di kawasan tersebut.

Kata Miro, program itu diharap berterusan untuk kampung-kampung lain di masa akan datang.


“Untuk pengetahuan semua, bukan Kampung Skio sahaja tetapi dua kampung telah dimasuki oleh pasukan JTS iaitu Kampung Seropak dan Kampung Seromah yang sedang dijalankan pengukuran tanah-tanah kampung tradisi dan berharap sangat selepas ini pihak JTS akan mula juga mengukur untuk Seksyen 6 dan Seksyen 18,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah berkenaan pengukuran tanah penduduk kampung di kawasan Serembu di Dewan Serbaguna Kampung Skio Bau semalam.

Ujar Miro lagi, inisiatif tersebut juga merupakan hasil usahasama penubuhan ‘land task force’ di setiap kampung dan seterusnya memulakan inisiatif dibawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) sejak tiga tahun lalu.

“Apa yang kita lakukan selama tiga tahun kebelakangan ini nampaknya telah membuahkan hasil.

“Kita telah berbincang, mengadakan begitu banyak dialog dan sebagainya berkenaan dengan pengukuran tanah-tanah NCR di Kawasan DUN Serembu sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Dan kita dapat melihat sekarang apa yang kita buat selama ini dengan penubuhan ‘Task Force Land’ di setiap kampung dan seterusnya memulakan inisiatif dibawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dengan semuanya ini kita telah gabungkan dan membuahkan hasil,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih terutama sekali kepada kepimpinan DBNA yang telah berusaha membantu masyarakat Bidayuh di kawasan luar bandar untuk mendapatkan geran-geran tanah mereka.

Tambahnya, setiap permohonan yang dibawa oleh DBNA dapat dikemukakan kepada pihak atasan supaya lebih banyak lagi tanah di kawasan milik orang Bidayuh dapat diukur dan geran tanah dapat dikeluarkan.

Pengukuran tanah Kampung Skio yang meliputi keluasan tanah 1,600 hektar itu adalah membabitkan kerja-kerja pengukuran perimeter, tanah hak adat Bumiputera untuk tanah pertanian dan pengukuran kampung tradisi. — DayakDaily