Enam individu dikompaun kerana langgar SOP di Kuching

Pelanggan didapati masih bermain permainan komputer ketika serbuan dijalankan pasukan polis.
Advertisement

KUCHING, 25 Mei: Enam individu termasuk pengusaha sebuah premis kelab sukan di Gala City di Jalan Tun Jugah dikompaun kerana didapati beroperasi melebihi masa yang dibenarkan semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata kelima-lima individu dipercayai pelanggan di premis terbabit masing-masing di kompaun RM2,000 manakala pengusaha premis di kompaun RM10,000.

Jelasnya, kesemua merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 34 tahun.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan dilakukan oleh pasukan pemantau pematuhan SOP PKPB mendapati premis masih beroperasi sekitar jam 11 malam.

“Kesemua mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21A Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.4) 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kompaun tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam tempoh 14 hari dari tarikh bermula kompaun dikeluarkan. — DayakDaily

Advertisement