Wanita hilang lebih 10 hari ditemui selamat di Julau

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

JULAU, 22 Jun: Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 9 Jun lepas ketika mencari umbut bersama dua rakannya di hutan Bukit Tugung, Nanga Lijan, di sini ditemui selamat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa Ijah Lassa, 54, ditemui dalam keadaan sihat di sebuah pondok kebun di Lubok Guchi, Sayong, Entabai sekitar jam 9 pagi hari ini.

Jelasnya, mangsa ditemui selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 16 Jun lepas.


“Mangsa hanya makan dan minum dengan bekalan yang terdapat di pondok kebun tersebut.

“Mangsa masih hidup dan dalam keadaan sihat cuma mengalami sedikit kecederaan di kedua-dua belah kaki kesan berjalan dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lokasi mangsa ditemui ialah kira-kira 2 jam dari rumah panjang Rumah Banggau.

Mangsa disedari hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar bersama dua rakannya (wanita, 50an) ke dalam hutan untuk mencari umbut sekitar jam 10 pagi pada 9 Jun.

Laporan polis kehilangan mangsa dibuat di Balai Polis Julau pada 10 Jun dan operasi SAR terus dilancarkan selepas itu sebelum ditamatkan pada 16 Jun. — DayakDaily