Wanita hilang ditemui di bawah pokok jambu

Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang ditemui di bawah pokok jambu.

LUNDU, Jun 17: Misteri kehilangan seorang wanita selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Bitokan sejak semalam terungkai apabila dia ditemui selamat di bawah pokok jambu di kampung berkenaan hari ini.

Mangsa, Martina Mawar Maskah, 48, ditemui anaknya serta pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 6.47 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Ramli Marasan berkata, ketika ditemui mangsa masih dalam keadaan sedar, namun dikatakan mengalami tekanan darah rendah.


Katanya, pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum wanita berkenaan dibawa ke Hospital Lundu untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi SAR ditamatkan pada pukul 7.03 pagi selepas mangsa dibawa ke Hospital Lundu,” katanya di sini hari ini.

Ramli menambah, sebelum itu, suami mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangan isterinya sebelum pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima sebelum itu, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas berada di kawasan reban ayam di belakang rumah mereka.

“Namun, sehingga lewat petang isterinya tidak pulang ke rumah sehingga suaminya mencari mangsa bersama penduduk kampung, tetapi wanita berkenaan gagal ditemui.

“Operasi yang dijalankan seawal pukul 6.30 pagi tadi kemudian menemui mangsa di bawah pokok jambu,” katanya. — DayakDaily